• Cipta Akaun
    *
    *
    *
    *
    *
    Fields marked with an asterisk (*) are required.
Anda berada di : Home

Kenyataan Media Y.B Menteri Dan Dato' KP Jakim

E-mail Cetak PDF
Ruj. Kami : MJPM/JKB05/2
Tarikh : 2 Januari 2010

KENYATAAN MEDIA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Berkenaan Keputusan Mahkamah Tinggi Mengenai
Penggunaan Kalimah Allah
 
Saya ingin merujuk berhubung isu keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah.

1. Pihak saya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membawa perkara ini kepada Mahkamah Rayuan untuk tindakan dan pembelaan yang sewajarnya bagi memastikan kesucian agama Islam di Malaysia terpelihara.

2. Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan semua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan umat Islam di Negara ini agar dapat bertenang berhubung perkara ini dan menghormati keputusan mahkamah serta memberi peluang perkara ini diselesaikan melalui proses perundangan.

3. Dalam hal ini, saya akan mengambil langkah untuk mengadakan pertemuan dengan pihak NGO dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan mereka dan membincangkan perkara ini selanjutnya.

4. Saya juga ingin memaklumkan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke 82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 telah mencapai keputusan seperti berikut :

“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

5. Sehubungan itu, sukacita dipohon pihak media dapat memaklumkan perkara ini kepada masyarakat.
 
Sekian, terima kasih.
 
Y.B. SENATOR MEJAR JENERAL
DATO’ JAMIL KHIR BIN HAJI BAHAROM (B)
 
 
 

Ruj. Kami : Jakim(2.00)/8/3 Jld. 3(34)
Tarikh : 4 Januari 2010

KENYATAAN MEDIA

Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Berkenaan Keputusan Mahkamah Tinggi Mengenai
Penggunaan Kalimah Allah

 


1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berpandangan Tan Sri Murphy Pakiam Archbishop Roman Catholic Kuala Lumpur harus mengguna kebijaksanaannya agar tidak menggunakan lafaz Allah dalam sebarang bahan terbitan pihaknya atau lainlain. Selain dari kes ini belum muktamad dan masih dalam proses kehakiman, sensitiviti umat Islam dan martabat Islam dalam Perlembagaan Persekutuan wajib diambil kira. Kita sama-sama bertanggungjawab menyekat ruang bagi kelompok ekstremis bergerak dalam pertubuhan agama masing-masing. Pengalaman di India di mana pelampau Hindu membakar gereja dan masijd harus dijadikan iktibar. Keharmonian yang sedia wujud di Malaysia perlu dihargai bersama. Nasihat Y.A.B. Perdana Menteri perlu kita beri perhatian berat.


2. JAKIM hairan kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, agama Islam adalah satu-satunya nama agama yang disebut tetapi kelihatan agama lain yang lebih diraikan.


3. Islam sebagai Agama Persekutuan di negara ini perlu dijunjung dan dihormati oleh semua sebagaimana S.P.B. Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Negara perlu ditaati oleh semua. Begitu juga kedudukan Raja-Raja yang menjadi Raja bagi seluruh rakyat jelatanya dan bukan untuk kaum keturunannya sahaja.


4. Inilah realiti Malaysia yang perlu difahami semua, pengundi yang tidak pernah seumur hidupnya mengundi parti pimpinan Perdana Menteri mesti menerima kenyataan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua.


5. Sehubungan itu, saya menasihati semua pihak agar memahami dan menghayati realiti serta menjunjung semangat Perlembagaan di negara Malaysia, Islam tetap Agama Negara yang dimartabatkan oleh Perlembagaan Persekutuan walaupun anda tidak menganutnya.


6. Sementara itu bagi umat Islam, apapun pandangan penganut lain tentang lafaz Allah, ia adalah lafaz suci yang merujuk kepada tuhan yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan.


7. Oleh itu, sukacita dipohon pihak media dapat memaklumkan perkara ini kepada masyarakat.


Sekian, terima kasih.


BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

Saya yang menurut perintah,

DATO’ HAJI WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ