
Bengkel Pemahaman Undang-Undang Mengenai Kesalahan Dan Tatacara Jenayah Syariah Kepada Pegawai Masjid Di Negeri Sembilan Siri 1 anjuran Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-Undang, Jakim dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah diadakan pada 22-24 Mac 2009 bertempat di Seri Malaysia,Port Dickson, Negeri Sembilan. Bengkel ini telah dihadiri oleh 41 orang Pegawai imam dari seluruh Negeri Sembilan.
Bengkel tersebut diadakan bertujuan memberi pemahaman mengenai undang-undang dan prosedur operasi penguatkuasaan yang perlu difahami dan diikuti oleh para imam semasa menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan. Para peserta bengkel juga telah didedahkan dengan latihan operasi penguatkuasaan sekaligus dapat mengaplikasi apa yang telah peserta pelajari.
Sebanyak satu sesi ceramah dan tiga bacaan teks undang-undang enakmen Negeri Sembilan antaranya ialah bacaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 yang disampaikan oleh Tuan Adam bin Tumiran, Pendaftar, Bahagian Pendaftaran, Keurusetiaan dan Rekod, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 telah disampaikan oleh Tuan Abdul Razak bin Mat Nayan, Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan.
Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 yang disampaikan oleh Puan Fatimah binti Manja, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Undang-Undang, Jakim dan ceramah mengenai Prosedur dan Etika Semasa Operasi Penguatkuasaan yang disampaikan oleh Tuan Haji Rahimin bin Bani.
Bengkel berakhir dengan perbincangan mengenai isu dan permasalahan yang dihadapi oleh para Pegawai Imam dalam menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan.


